Sebagai wanita sudah pasti amat teruja dengan pergerakan hangat buana fesyen yang sentiasa berubah selaras dengan tema, warna, musim, figura dan seumpamanya.
Sebahagian idea bicara ini dipetik dari artikel blog Jejak Serikandi sebagai perkongsian bersama untuk mencari kebenaran tentang perkara yang hak dan perkara yang batil. Sama-sama kita hayati dan saling memberi pendapat serta betul-membetulkan dilaman http//:mindaMaimun.blogspot.com. Dengan itu tuan hamba sekalian dipersilakan.
Besar kesedaran dikalangan wanita muslimah untuk menutup keindahan aurat dan figura yang Allah cipta kurniakan kepada wanita. Hanya konsep busana menurut syarak yang kurang difahami, tidak dituruti dan tidak dipraktiskan secara total - Sekadar pendapat dari lensa mata hati saya.
Termaktub dalam peraturan Islam bahawa konsep busana wanita yang mengikut syarak adalah busana longgar dengan warna yang pastel (tidak meriah berwarna warni) serta menutup seluruh figura dari kepala hingga ke kaki.
Wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan figura dikhalayak umum. Mereka masih boleh tampil bersosial dikhalayak masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Sejak kebelakangan ini, busana menurut Islam telah tersasar dari hukum syarak. Fesyen busana menurut Islam dipesongkan dengan berbagai perkembangan fesyen yang mampu menarik perhatian kaum Adam terhadap busana yang dilabelkan busana muslimah. Islam tidak menghalang kaum Hawa berfesyen tetapi wajib mematuhi garisan yang telah ditetapkan Islam. Sebagaimana yang dinyatakan : "sesungguhnya Allah suka kepada perkara yang cantik dan kemas".
Ada dikalangan wanita Islam hanya meletakkan auratnya kepada kepala dan rambut sahaja. Sebagai contoh : kepala dan rambut disaluti tudung tetapi lengannya terbuka, figuranya jelas terbentuk disebalik busana sendat atau belahan kain ketatnya hingga mempamerkan kegebuan betis dan paha. Tudung pula berwarna terang kilat berkilau sehingga menarik perhatian pandangan orang lain.
Bagi wanita yang menjaga auratnya dengan berpakaian mengikut ketetapan Islam maka ia telah menjaga dirinya dari fitnah pandangan kaum Adam yang bukan mahram,. Bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya malah maruah kaum Hawa mukmin keseluruhannya.
Harga diri wanita terlalu mahal! Percayalah dengan kesempurnaan berbusana mampu menghindarkan diri dari perbuatan jahat, keji juga mungkar. Wanita perlu mengambil berat akan permasalahan ini kerana amat bimbang akan diri menjadi mangsa kepada kejahatan yang tidak diingini.
Berfesyenlah seperti yang dikehendaki oleh Islam. Usah gadaikan diri kelembah dosa dan noda disebabkan fesyen yang tidak mengikut syariat Islam. Jadilah wanita solehah dengan berbusana dan berakhlak mulia. Sesungguhnya kaum Hawa akan dipelihara Allah sepertimana serikandi Islam iaitu Saidatina A'isyah, Saidatina Khadijah, Maryam ibu Nabi Isa juga Rabiatul Adawiyah.
No comments:
Post a Comment